10 cara ‘awesome’ didik anak suka multi-bijirin

10 cara ‘awesome’ didik anak suka multi-bijirin
12 July 2015

Tahniah ibu, si manja anda sudah memasuki tadika! Cukup mengujakan. Inilah waktu untuk si manja anda meneroka dunia baru, bersosial dengan kanak-kanak lain dan belajar pelbagai perkara menarik yang amat menyeronokkan. Sebagai ibu, semestinya anda akan berasa sedikit gusar untuk melepaskan si manja memasuki persekitaran baru, tetapi dalam masa sama anda menaruh harapan yang dia berupaya mencapai potensi terbaik sepanjang berada di tadika. Pendek kata, anda ingin melihat anak kesayangan anda menjadi seorang yang ‘awesome’ di dalam apa jua pengalaman yang dilaluinya.

Justeru itu, sebagai ibu anda perlulah memberi makanan bernutrisi tinggi demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan menyeluruh anak-anak anda. Ini kerana, kanak-kanak yang sihat akan mencapai jadual perkembangan diri - sama ada dalam aspek fizikal, mental mahupun sosial. Nutrisi yang baik terdapat di dalam lima kumpulan makanan utama – iaitu bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, daging, kekacang dan hasil tenusu.

Kumpulan bijirin merangkumi makanan seperti nasi, roti, bijirin sarapan, biskut, mi dan pasta. Kumpulan ini adalah penyumbang hidangan yang paling besar untuk kanak-kanak kerana ia akan menyumbang hampir separuh daripada jumlah keperluan nutrisi dalam pengambilan makanan harian mereka.

Garis Panduan Pemakanan Malaysia 2010 juga menyarankan separuh daripada pengambilan bijirin harian seharusnya diambil daripada bijirin penuh kerana ia masih mengekalkan ketiga-tiga bahagian bijirin yang berkhasiat. Lapisan paling luar ialah bran di mana terletaknya fiber dan ianya kaya dengan Vitamin B. Bahagian tengah pula ialah endosperma yang mengandungi protein dan terakhir sekali teras dalam atau lebih dikenali sebagai germa bijian, ia mengandungi antioksidan, Vitamin E, Vitamin B dan minyak yang menyihatkan.

Sebagai ibu bapa tentu sekali kita ingin membantu, membimbing dan mendidik anak kita supaya menjadi yang terbaik, bukan? Ya, saya amat memahami dan turut ada perasaan itu kerana saya juga adalah seorang ibu.

Bagaimanapun saya juga sentiasa menyokong pendapat yang mengatakan bahawa jumlah nutrisi yang diambil oleh kanak-kanak bergantung kepada skil keibubapaan dan anda adalah contoh kepada mereka.

Di sini, disenaraikan 10 cara ‘awesome’ dan mudah untuk anda cuba bagi menarik minat kanak-kanak supaya menyukai hidangan multi-bijirin:

  1. Bawa anak anda ke pasaraya untuk memilih makanan. Cari produk multi-bijirin seperti biskut atau bijirin berkhasiat untuk minuman pagi bersama!
  2. Main permainan berunsur makanan untuk mendorong anak anda memahami kepentingan nutrisi kepada tubuh badannya. Ambil beberapa jenis makanan dari dapur atau peti sejuk dan suruh anak anda mengkategorikannya. Misalnya, susu ialah hasil tenusu, multi-bijirin dan roti adalah bijirin serta lain-lain.
  3. Kanak-kanak tidak suka biskut multi-bijirin kerana dikatakan rasanya tawar, ini disebabkan mereka sudah terbiasa dengan gula atau biskut krim. Untuk kanak-kanak menikmat biskut multi-bijirin, sapu sedikit mentega kacang atau jem di atasnya!
  4. Masukkan multi-bijirin dalam kentang lenyek bersama daging cincang untuk membuat pergedil. Zat besi penting untuk menambah sel darah merah dan mengangkut oksigen di dalam aliran darah. Laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kadar prevalens anemia dunia dari tahun 1993 hingga 2005 menunjukkan 32.4% kanak-kanak prasekolah di Malaysia adalah anemik. Kanak-kanak yang kurang zat besi kelihatan lesu dan tidak bermaya.
  5. Guna multi-bijirin untuk membuat bubur panas dengan susu, buah-buahan kering dan kacang tumbuk. Vitamin B1 dalam multi-bijirin membebas tenaga dari karbohidrat yang diperlukan oleh tubuh dan otak. Kanak-kanak yang sihat bertenaga akan lebih ceria dan bersedia untuk menyertai semua aktiviti.
  6. Masukkan multi-bijirin di dalam minuman panas anak anda untuk menambah kandungan nutrisi dan fiber. Fiber di dalam multi-bijirin akan membantu penghadaman.
  7. Multi-bijirin boleh menggantikan serdak roti untuk membuat nuget ayam atau ikan. Multi-bijirin mengandungi protein yang penting untuk membina sel tisu badan, tulang, otot dan kulit. Ini membantu pertumbuhan dan perkembangan fizikal anak anda.
  8. Rendam roti multi-bijirin di dalam telur untuk membuat roti celup telur. Nikmati roti celup dengan minuman panas multi-bijirin berkhasiat yang penuh aroma!
  9. Buat smoothie menggunakan bahan seperti multi-bijirin berkhasiat, susu sejuk, dan buah-buahan segar. Struktur multi-bijirin membantu memperlahankan proses penghadaman untuk terus memberi tenaga kepada anak anda. Multi-bijirin juga membuatkan anak anda berasa kenyang lebih lama, bertenaga dan cergas.
  10. Permainan mencari resepi multi-bijirin di internet dengan anak kecil anda juga menarik perhatian si manja. Biar dia memilih resepi untuk keluarga online. Percayalah, dia akan rasa bangga dan ingin menikmati masakan itu.